Pendidikan Islam mempunyai beberapa matlamat tertentu. Di antara
matlamat-matlamatnya adalah jelas untuk melahirkan insan yang budiman, beriman,
bertakwa dan salih. Pendidikan Islam nyata sekali menuju ke arah perkembangan tingkahlaku
yang sehat. Ekoran daripada matlamat murni ini berkembanglah manusia yang
menyedari hakikat lahirnya sebagai hamba Allah swt yang menurut perintahnya,
yang beramanah dan bertanggungjawab (Kamarudin Hj. Kacar, 1989).
Menurut Dr. Abdur Rosyad Syuhudi(1990) di antara matlamat pendidikan
Islam itu ialah untuk mengenal diri manusia itu sendiri, untuk mengenal tugas
dan tanggungjawab manusia, untuk menyusun struktur masyarakat, untuk membentuk
akhlak yang mulia di kalangan manusia, untuk menjaga kepentingan agama dan
kehidupan serta untuk memberikan kepentingan jasmani dan rohani.
Ustaz Abdul Raof Dalip (1990) ada menyatakan beberapa matlamat pendidikan
Islam. Antaranya ialah untuk mentauhidkan diri kepada Allah,untuk pembentukan
akhlak yang mulia, menyedarkan manusia mengenai keperluan ilmu pengetahuan,
menyedarkan manusia mengenai peranannya sebagai Khalifah, untuk pembentukan
insan soleh, untuk pembentukan akhlak atau syahsiah Islamiah di dalam diri
manusia, untuk mempersiapkan manusia bagi kehidupan di dunia dan di akhirat,
untuk memberi perhatian serta menjaga kemanfaatan individu dan masyarakat, dan
akhir sekali untuk penyediaan tenaga mahir dan profesion dalam berbagai bidang
kehidupan.
Ghazali Darussalam (2004) di dalam buku ‘Pedagogi Pendidikan Islam’ ada
menyebutkan beberapa pendapat sarjana dan ilmuan mengenai matlamat pendidikan
Islam. Antaranya, Prof. Dr. Mohd. Athiyah Al-Abrasyi menjelaskan matlamat
pendidikan Islam adalah;
“Pendidikan hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup
dengan sempurna, bahagia, cintakan negara, kuat jasmaninya, sempurna akhlaknya,
teratur pendidikannya, halus dan murni perasaannya, cekap dalam kerjanya,
berkerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya dan lisannya serta
tangannya dapat membuat sesuatu pekerjaan itu dengan baik.”
Daripada keterangan di atas maka jelaslah bahawa tujuan dan matlamat
pendidikan Islam itu tidak jauh berbeza malah hampir sama. Sebagai rumusan kita
lihat petikan berikut;
“Al-Qabisi,
berpendapat bahawa tujuan pendidikan adalah untuk mengetahui ajaran agama baik
secara ilmiah maupun secara amaliah. Ini kerana dia termasuk ulama ahli fiqih
dan tokoh dari ulama ahli sunnah wal jama’ah. Sedangkan Ibnu Maskawih
berpendapat bahawa tujuan pendidikan ialah tercapainya kebajikan,kebenaran dan
keindahan. Ikhwan As-Safa, cenderung berpendapat bahawa tujuan pendidikan itu
adalah mengembangkan faham filsafat dan akidah politik yang mereka anut.
Al-Ghazali, berpendapat bahawa tujuan pendidikan itu adalah melatih para
pelajar untuk mencapai makrifat kepada Allah melalui jalan tasawuf iaitu dengan
mujahadah dan riyadhah.
